Di Kampung Belukar Luas, terdapat sebuah Tadika KEMAS dan sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar.

Tadika KEMAS Kampung Belukar Luas

Terdapat 2 orang staf yang berkhidmat di tadika ini. Puan Siti Roziah Binti Yaakob merupakan guru yang bertugas dalam membimbing kanak-kanak di tadika ini manakala Puan Rosmaria Binti Ahmad Zawawi merupakan pembantu dan juga selaku tukang masak. Terdapat seramai 31 orang murid yang berumur dalam 4 hingga 6 tahun dari 3 buah kampung iaitu Kampung Sireh, Kampung Datuk dan Kampung Belukar Luas. Kanak-kanak di tadika ini sentiasa bersemangat dan ceria sepanjang menjalani pembelajaran di tadika ini memandangkan pelbagai aktiviti dan program yang menyeronokkan. Contohnya pertandingan nyanyian dan acara sukan yang disertai setiap tahun. Malah, pada jamuan hari raya turut diadakan bagi merapatkan silaturrahim antara pelajar, guru dan waris.

Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar

Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah yang terdapat di Kampung Belukar Luas. Sekolah ini mula dibuka pada tahun 1947. Usaha penubuhannya adalah di atas khidmat bakti penghulu Abdullah Bin Jaafar. Nama sekolah adalah bersempena dengan lokasinya yang terletak di kampung ini sejak mula ditubuhkan lagi. Malah nama Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar terus kekal hingga ke hari ini dan menjadi bukti nama asal kampung ini iaitu Kampong Belukar. Sekolah ini mempunyai 515 orang murid tahun 1 hingga 6 dan 43 orang murid dari 2 kelas pra-sekolah. Sekolah yang mempunyai tenaga pengajar seramai 17 orang ini menghimpunkan warga pelajar dari 6 buah kampung berhampiran iaitu Kampung Belukar Luas, Kampung Datok, Kampung Sireh, Kampung Lebai Saman, Kampung Masjid Lama dan Kampung Masjid Baru. Terdapat 2 kelas bagi Tahun 1, Tahun 2, dan Tahun 3 serta 3 kelas bagi Tahun 4 hingga 6. 

Rekod Pencapaian sekolah Kebangsaan Kampong Belukar:

Sejak mula dibuka pada tahun 1947 sebagai sekolah rakyat, pihak sekolah sentiasa bekerja keras dalam memantapkan mutu pendidikan agar dapat melahirkan insan yang berguna. Pada tahun 1950, status sekolah ini bertukar menjadi sekolah kerajaan. Ini memberi peluang dalam penambahbaikan bangunan dan kemudahan untuk keselesaan para pelajar. Pada tahun 1994, sekolah ini berjaya dinaik taraf sebagai sekolah Gred A. Hasil usaha dan kerja keras warga sekolah, pada tahun 1996, sekolah ini diumumkan sebagai Johan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah (PTP). Tahun berikutnya, sekolah ini menjadi Naib johan Pertandingan Keceriaan Anjuran Majlis Daerah Pendang. Dari segi akademik, rekod prestasi UPSR di sekolah ini adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 47%. Rekod kecemerlangan berkesinambungan hingga ke hari ini memandangkan pencapaian yang terdahulu memberikan semangat dan batu loncatan bagi generasi pelapis.