Sebuah Klinik Desa turut ditubuhkan di Kampung Belukar Luas. Lokasinya adalah bersebelahan dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Belukar Luas dan Tabika KEMAS.Terdapat 3 orang staf iaitu Jururawat Masyarakat (JM) yang bertugas di Klinik Desa Kampung Belukar Luas iaitu JM Rosmawany Binti Mat Junoh, JM Suriati dan JM Masriah Binti Mad Yusob. JM juga biasanya dipanggil jururawat kebidanan. Terdapat jalur warna ungu pada topi atau tudung JM.

Seperti Klinik Desa di tempat lain, Klinik Desa Kampung Belukar Luas dibuka setiap hari iaitu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.Kawasan perkhidmatan Klinik Desa ini adalah merangkumi 6 buah Kampung berhampiran iaitu Kampung Belukar Luas, Kampung Datok, Kampung Sireh, Kampung Lebai Saman, Kampung Masjid Lama dan Kampung Masjid Baru.

Klinik Desa Kampung Belukar Luas telah didirikan semenjak tahun 1970-an lagi. Oleh yang demikian, segala perkhidmatan dan kemudahan dipertingkatkan selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh pihak kementerian. Antara perkidmatan yang dipertanggungjawabkan kepada jururawat masyarakat di klinik ini adalah:

  • Mengetuai Rumah Bidan Kerajaan/Klinik Desa (bagi Jururawat yang ditempatkan di Rumah Bidan Kerajaan atau Klinik Desa).
  • Memberi perkhidmatan kesihatan ibu mengandung.
  • Memberi perkhidmatan kesihatan bayi/kanak-kanak.
  • Memberi perkhidmatan rawatan ke rumah.
  • Memberi perkhidmatan perancangan keluarga.
  • Memberi pendidikan kesihatan.
  • Menyambut kelahiran bayi.
  • Menjalankan rawatan bagi pesakit luar (pemeriksaan tekanan darah dan kencing manis)
  • Pemeriksaan lanjutan atau rawatan serta ubat akan dirujuk di Klinik Kesihatan Naka.